Kita sebagai manusia yang dijadikan Allah SWT
adalah sangat lemah. Kita tidak tertinggal daripada menjadi lupa dan ini
termasuklah ketika kita bersolat. Apabila kita terlupa sesuatu ketika kita
bersolat, kita perlulah melakukan sujud sahwi supaya ianya menutup kekurangan
yang terjadi ketika solat.
Sujud sahwi adalah sujud sebanyak 2 kali yang
dilakukan sesudah membaca Tasyahud akhir dan Selawat (Tahiyaat Akhir), tepatnya
sebelum mengucapkan salam.
Apakah sebab-sebab yang mengharuskan sujud
sahwi? Ada 3 perkara iaitu:
(1)
Penambahan gerakan (al-Ziyadah). Misalnya seseorang menambah jumlah rukuk,
sujud, berdiri atau duduknya.
(2) Pengurangan (Naqs). Misalnya seseorang
kurang dalam melaksanakan rukun atau hal yang wajib dalam solat.
(3) Ragu-ragu (Shak). Misalnya dia ragu-ragu
tentang jumlah rakaat solat samada tiga atau empat.
Hadis yang berkenaan dengan Sujud sahwi di
antaranya yang diriwayatkan Abu Sa’id Al-Khudri, ia berkata, “Rasulullah
SAW bersabda, “Apabila salah seorang di antara kalian ragu di dalam solatnya
sehingga ia tak tahu lagi apakah ia sudah melakukan solat sebanyak tiga rakaat
atau empat rakaat, hendaklah dibuangnya keraguan itu dan yang ia yakini,
kemudian hendaknya ia sujud sebanyak dua kali sebelum melakukan salam.
Sekiranya ia telah melakukan solat 5 Rakaat, bererti solatnya telah digenapkan
dengan Sujud sahwinya itu. Dan sekiranya ia solat tepat empat rakaat, dua sujud
itu menghinakan bagi Syaitan.” (HR. Ahmad dan Muslim).
Diriwayatkan pula dari Abu Hurairah RA, Nabi
SAW bersabda, “Sesungguhnya setan itu masuk di antara anak Adam dan Nafsunya,
sehingga ia tidak tahu sudah berapa rakaat ia melakukan solat. Maka bila
seorang di antara kalian mengalami hal demikian, hendaklah ia sujud dua kali
sebelum memberi salam.” (HR. Abu Ahmad dan Ibnu Majah).
Apakah yang harus dibaca ketika sujud sahwi?
Ada perbezaan pendapat tentang bacaan. Yang
umumnya kita telah diajar untuk membaca:
سُبْحَانَ
مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو
Subhaana man laayanaamu walaa yashuu
(Mahasuci Tuhan yang tidak tidur dan tidak
lupa)
Tetapi hadis-hadis Rasulullah SAW berkaitan
dengan sujud sahwi, ternyata baginda SAW tidak pernah mengajar bacaan khusus
yang perlu dibaca ketika sujud sahwi ini. Apa yang dapat kita simpulkan di sini
bahawa bacaan ketika sujud sahwi adalah sama seperti yang dibacakan dalam sujud
solat yang biasa:
سُبْحَانَ
رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ
Maha suci Tuhanku dan segala puji bagi-Nya.
Kita juga dibolehkan melakukan dua kali sujud
itu sahaja tanpa membaca apa-apa jika dipandukan dengan hadis Nabi SAW.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar